APA ITU “HIJAB” DI ANTARA MANUSIA DENGAN ALLAH?

Pernah dengar ungkapan ini?

“Jangan berputus asa dari rahmat Allah, sesungguhnya rahmat Allah itu Maha luas”.

Ada orang setelah mencari dan mencari, akhirnya mendapat sedikit anugerah. Setelah mendapat anugerah itu… lalu dia tersendat pulak dengan anugerah itu sampai terhijab semula berpuluh2 tahun lamanya.

Ada pulak yang memang terhijab terus. Ada yang mula2 terhijab, kemudian terbuka kemudian terhijab lagi. Itu adalah lumrah. Ianya bergantung sejauh mana kita merasa memerlukan Dia.

Benarkah begini?

Ada orang… semasa melalui waktu susah, dia sangat hampir dengan Tuhan. Pagi petang, siang malam tak berhenti berdoa. Akan tetapi bila Tuhan melepaskan kesusahan itu, hati pun jadi jauh semula daripada Tuhan.

Bagaimana pulak dengan ungkapan ini… pernah tak kita mendengarnya?

“Aku adalah mengikut persangkaan Hambaku. Bila hambaku menujuKu sejengkal, Aku hampirinya sedepa!”

Dzun Nun Al Misyry pernah ditanya: “Apakah hijab yang paling halus dan yang paling bersangatan?”

Lalu dijawabnya : “Melihat diri dan mengaturnya.”

Maksudnya bahawa hijab yang mendinding manusia terhadap Allah adalah hijab yang paling halus dan bersangatan… iaitu melihat diri dan mengurusnya. Perbuatan ini yakni mengarahkan fikiran, daya dan usaha pada memikirkan alam jasmaniah semata-mata akan menyebabkan matahati kita tidak lagi mencari Allah.

Kita bukanlah tidak boleh mengatur dan mengurus diri… tetapi jangan la sampai melewati batas sehingga hubungan kita dengan Allah terhalang yakni terhijab.

Kita diperbolehkan mempunyai rumah yang besar indah dan kenderaan yang bagus tetapi semuanya janganlah sampai melalaikan ataupun melupakan Allah. Apabila keadaan ini menimbulkan kelalaian dan kelupaan maka semuanya akan menjadi hijab-hijab bagi kita.

Bagaimana hati kita akan bersinar apabila sesuatu di dalam alam ini melekat di dalam matahati?

Bila keduniaan mengawal kita, maka tujuan supaya hati bersih menghadap sempurna kepada Allah pasti tidak akan berhasil.

Bila dunia ini terpaut dalam hati maka hati akan menemui kegelapan. Sama seperti kaca… apabila berdebu begitu banyak dan melekat kuat, maka kaca itu sudah tidak dapat menangkap serta memusatkan cahaya ke dalamnya.

Bila hati gelap, macam mana Allah nak bersemayam di dalamnya. Bila hati sudah terpaut kuat kepada dunia yang fana ini, akan sulitlah hati kita mengarah kepada tujuan menghadap Allah dengan syuhud dan tajjali seperti yang dimaksudkan dengan ehsan di dalam hadis Rasulullah s.a.w.

Apabila hati gelap maka sinar makrifat akan jauh darinya. Sebab hati ni… mukanya hanya satu. Bila muka yang satu itu menghadap dunia maka jauhlah ia dari Allah.

Kita dalam mengerjakan ajaran agama, pada hakikatnya bukanlah sekadar patuh dan taat kepada Allah tetapi juga pada hakikatnya kita berjalan kepadaNya dengan erti hubungan menjadi semakin dekat, baik dalam ilmu, keyakinan dan seluruh perasaan.

Ingatlah… kita ini hanyalah hamba yang mencari2 jalan pulang. Lambat laun kita akan pulang juga. Semoga kepulangan kita adalah dalam keadaan yang baik.

Ini dapat kita capai bila kita memutuskan hubungan dengan kehendak-kehendak hawa nafsu dan syahwat yang bertentangan dengan sunnatullah dan kehendak Ad Din.

Bila kita berada dalam tawanan hawa nafsu… setiap kali kita bangun berdiri untuk melangkah, setiap kali pulak la kita akan jatuh tersungkur. Setiap kali berkumpul dalam hati kita keinginan yang kuat untuk berjalan kepada Allah, tetapi pada waktu petangnya tentera2 syahwat menyerang pertahanan, sehingga benteng pertahanan yang dibina runtuh.

Demikianlah sulitnya kita menuju kepada Allah apabila kita masih terikat dengan ikatan syahwat.

“Sengatan beberapa ekor kala atas bahagian2 tubuh yang luka lebih ringan dari sengatan2 syahwat atas hati yang menghadap kepada Allah”.

Allah mewahyukan kepada Nabi Daud:
“Hendaklah engkau berikan peringatan kepada kaum engkau tentang bahaya seluruh syahwat kerana segala hati yang bergantung dengan segala syahwat keduniaan bererti akal orangnya terdinding, lagi jauh dia daripadaKU”.

Jika kita tidak mampu menghalau serangan nafsu setelah mengamalkan beberapa macam zikir serta amalan2 lain… mohon kepada Tuan kepaa nafsu itu agar Dia menghalangnya. Mohonlah dengan berkat selawat.
Bermacam orang yang sudah mempunyai jawatan tiba2 hilang kerja, maka mohonlah bersungguh-sungguh agar dikembalikan jawatan tu. Kita hilang jawatan mungkin kita ada buat silap.

Ataupun orang sihat tiba2 jatuh sakit. Puas berubat tak jugak sembuh-sembuh. Janganlah putus asa… mungkin belum sampai masanya lagi.

Bersyukurlah dengan apa yang kita ada.
Sekurang-kurangnya kita tahu kita berada di dalam ujian Tuhan dan tidak kufur dengan nikmatnya yang tidak terbatas.

Yang penting… kita mesti berwuduk zahir dan batin sebelum menghadap kepadaNya. Wuduk zahir sahaja tidak akan cukup.

Allahu’alam… semoga bermanfaat dijadikan renungan.

Leave a comment