APA ITU HADIS, SUNNAH DAN HADIS QUDSI

Pengertian Hadis Menurut Bahasa

Hadis menurut bahasa adalah baharu (al-Hadits), lawan kepada (al-Qodim) yang bermaksud lama atau sedia ada. Hadis juga bersifat baru kerana keluar lafaznya dari mulut Rasulullah saw. 

Di dalam Al-Quran diterangkan diterangkan perkataan-perkataan hadith, hadithan dan ahadith yang mempunyai pelbagai maksud, antaranya;

(a). Perkataan [Al-Nisaa’ : 87]

(b). Peristiwa [Al-Tahrim : 3]

(c). Mimpi [Yusuf : 101]

(d). Al-Quran [Al-Kahfi : 6]

Dengan itu hadis dari segi bahasa mengikut Al-Quran, antaranya adalah;

(a). Perkataan atau kisah yang keluar dari mulut.

(b). Peristiwa atau cerita mengenai sejarah.

(c). Ditujukan kepada Al-Quran sebagai wahyu atau Kalam Allah.

(d). Perkhabaran atau berita yang berhubung dengan soal keagamaan, kehidupan, peristiwa zaman silam, masa kini dan masa akan datang.

Pengertian Hadis Menurut Istilah

Dari segi istilah para muhaddithin telah mengemukakan pelbagai pendapat mengenainya namun tiada percanggahan antara satu sama lain kecuali jika ada sesuatu sebab yang khusus mengenainya. Antaranya;

(a). Hadis ialah segala apa sahaja yang dinisbahkan pada Nabi Muhammad saw dari segi perkataan, perbuatan, taqrir atau sifat samada fizikal atau akhlak dan sirah samada sebelum dan selepas menjadi Rasul.

(b). Hadis juga ialah segala apa yang dinisbahkan kepada Nabi Muhammad saw atau sahabat atau tabiin termasuk juga apa yang dinamakan hadis marfu’, mauquf dan maqtu’.

Perbezaan Antara Hadis dan Sunnah

Sunnah dari segi bahasa bermaksud jalan atau sirah samada terpuji atau tercela. Lawan bagi perkataan sunnah adalah bidaah. Mereka yang mengikuti sunnah dipanggil orang yang mengikuti jalan yang lurus dan terpuji, manakala mereka yang berpaling dari sunnah adalah pembuat bidaah dan tercela.

Sunnah dari sudut istilah pula terbahagi kepada beberapa pendapat ilmuwan berdasarkan pengkhususan ilmu mereka, antaranya;

(a). Ulama Usul Fiqh – Sunnah adalah kata-kata, perbuatan dan taqrir. Mereka mengkaji hadis sebagai sumber hukum syariat seperti wajib, haram, sunat, harus dan makruh.

(b). Ulama Fiqh – Sunnah adalah perkara-perkara sunat yang apabila dilakukan akan mendapat pahala dan meninggalkannya tidaklah berdosa.

(c). Ulama Kalam – Sunnah adalah antonim bagi bidaah. Mereka yang berpaling dari sunnah dianggap sebagai pembuat bidaah.

(d). Ulama Hadis – Sunnah adalah apa juga yang disandarkan kepada Rasulullah saw dari segi perkataan, perbuatan, perakuan, sifat fizikal dan akhlak samada sebelum dilantik menjadi Rasul atau sesudahnya.

Takrif yang diberikan oleh ulama hadis lebih diberi keutamaan kerana ia merangkumi seluruh kehidupan Rasulullah saw. Sunnah dalam pengertian ini adalah sama dengan maksud al-hadis. Kesimpulannya pada hakikatnya al-Hadis dan al-Sunnah mengandungi pengertian yang sama dan jika ada perbezaan hanya pada istilah dan skop pemakaiannya sahaja.

Hadis Qudsi

Qudsi [arab: القدسي] secara bahasa diambil dari kata qudus, yang artinya suci. Disebut hadis qudsi, kerana perkataan ini dinisbahkan kepada Allah, al-Quddus, Dzat Yang Maha Suci.

Hadis Qudsi secara Istilah

Ulama berbeza pendapat dalam mendefinisikan hadis qudsi.

Al-Jurjani mengatakan,

الحديث القدسي هو من حيث المعنى من عند الله تعالى ومن حيث اللفظ من رسول الله صلى الله عليه وسلم فهو ما أخبر الله تعالى به نبيه بإلهام أو بالمنام فأخبر عليه السلام عن ذلك المعنى بعبارة نفسه فالقرآن مفضل عليه لأن لفظه منزل أيضا

Hadis qudsi adalah hadis yang secara makna datang dari Allah, sementara redaksinya pula datang dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam. Sehingga hadis Qudsi adalah berita dari Allah kepada Nabi-Nya melalui ilham atau mimpi, kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam menyampaikan hal itu dengan ungkapan beliau sendiri. 

Untuk itu, al-Quran lebih utama dibandingkan hadis qudsi, kerana Allah juga menurunkan redaksinya. (at-Ta’rifat, hlm. 133)

Sementara al-Munawi memberikan pengertian,

الحديث القدسي إخبار الله تعالى نبيه عليه الصلاة والسلام معناه بإلهام أو بالمنام فأخبر النبي صلى الله عليه وسلم عن ذلك المعنى بعبارة نفسه

Hadis qudsi adalah berita yang Allah sampaikan kepada Nabi-Nya shallallahu ‘alaihi wa sallam secara makna dalam bentuk ilham atau mimpi. Kemudian Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam menyampaikan berita ‘makna’ itu dengan redaksi beliau. (Faidhul Qodir, 4/468).

Demikian pendapat majoriti ulama mengenai hadis qudsi, yang jika kita simpulkan bahawa hadis qudsi adalah hadis yang maknanya diriwayatkan Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam dari Allah, sementara redaksinya dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam.

Dan inilah yang membezakan antara hadis qudsi dengan al-Quran. Dimana al-Quran adalah kalam Allah, yang redaksi berikut maknanya dari Allah ta’ala juga.

Kemudian, ada lagi ulama yang menyampaikan pendapat berbeza dalam mendefinisikan hadis qudsi. Di antaranya az-Zarqani. 

Menurut az-Zarqani, bagi hadis qudsi… redaksi dan maknanya keduanya dari Allah. Sementara hadis nabawi (hadis biasa), maknanya berdasarkan wahyu dalam kes di luar ijtihad Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, sementara redaksi hadis dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam.

Az-Zarqani mengatakan,

الحديث القدسي أُوحيت ألفاظه من الله على المشهور والحديث النبوي أوحيت معانيه في غير ما اجتهد فيه الرسول والألفاظ من الرسول

Hadis qudsi redaksinya diwahyukan dari Allah – menurut pendapat yang masyhur – sedangkan hadis nabawi, makna diwahyukan dari Allah untuk selain kes ijtihad Rasulullah, sementara redaksinya dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam. (Manahil al-Urfan, 1/37)

Berdasarkan keterangan az-Zarqani, baik al-Quran maupun hadis qudsi, keduanya adalah firman Allah. Yang membezakannya adalah dalam masalah statusnya. Hadis qudsi tidak memiliki keistimewaan khusus sebagaimana al-Quran. (sila semak: Manahil al-Urfan, 1/37)

Beza Hadis Qudsi dengan al-Quran

Terlepas dari perbezaan pendapat ulama dalam mendefinisikan hadis qudsi, ada beberapa perkara penting yang membezakan di antara hadis qudsi dengan al-Quran, di antaranya:

Al-Quran: turun kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam dibawa oleh Jibril sebagai wahyu

Hadis Qudsi: tidak harus melalui Jibril. Ertinya, boleh melalui Jibril dan boleh tidak melalui Jibril, misalnya dalam bentuk ilham atau mimpi.

Al-Quran: sifatnya qath’i tsubut (pasti kesahihannya), kerana semuanya diriwayatkan kaum muslimin turun-temurun secara mutawatir. Kerana itu, tidak ada istilah ayat al-Quran yang diragukan kesahihannya dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam.

Hadis Qudsi: tidak ada jaminan kesahihannya. Kerana itu, ada Hadis Qudsi yang sahih, ada pula yang dhaif, dan bahkan ada yang palsu.

Al-Quran: membacanya bernilai pahala setiap huruf. Orang yang membaca satu al-Quran mendapat pahala.

Hadis Qudsi: semata-mata membaca belum tentu bernilai pahala. Kecuali jika diniati untuk mempelajari, sehingga bernilai ibadah pada kegiatan mempelajarinya.

Al-Quran: teks dan maknanya merupakan mukjizat. Kerana itu, tidak ada satupun makhluk yang mampu membuat 1 surah yang semisal al-Quran.

Hadis Qudsi: teks dan maknanya bukan mukjizat. Sehingga boleh sahaja seseorang membuat hadis qudsi palsu.

Al-Quran: bersifat suci atau (sacred), sehingga orang yang mengingkari satu huruf saja statusnya boleh jatuh kafir.

Hadis Qudsi: tidak sacred, sehingga mengikuti kajian hadis pada umumnya. Kerana itu, boleh sahaja orang tidak menerima hadis qudsi jika mengingat status perawinya yang tidak boleh diterima.

Al-Quran: tidak boleh disampaikan berdasarkan maknanya tanpa teks aslinya persis seperti yang Allah firmankan. Tidak boleh ada tambahan atau pengurangan satu huruf sekalipun.

Hadis Qudsi: boleh disampaikan secara makna atau mafhumnya.

Al-Quran: menjadi mukjizat yang Allah gunakan untuk tantangan manusia, terutama masyarakat arab.

Hadis Qudsi: tidak digunakan sebagai tantangan kepada makhluk Allah lainnya.

Istilah Lain Hadis Qudsi

Beberapa ulamak menyebut Hadis Qudsi dengan selain istilah yang umumnya dikenal masyarakat. Ada yang menyebutnya Hadis Ilahi atau Hadis Rabbani. Semacam ini hanya istilah, yang hakikatnya sama, iaitu hadis yang dinisbahkan kepada Allah.

Di antara ulamak yang menggunakan istilah hadis ilahi adalah Syaikhul Islam sebagaimana beberapa keterangan beliau di Majmu’ Fatawa dan Minhaj as-Sunnah. Demikian pula al-Hafidz Ibnu Hajar.

Dalam salah satu pernyataannya, al-Hafidz Ibnu Hajar mengatakan,

الأحاديث الإلهية: وهي تحتمل أن يكون المصطفى صلى الله عليه وسلم أخذها عن الله تعالى بلا واسطة أو بواسطة

Hadis Ilahi ada kemungkinan Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam mengambilnya dari Allah tanpa perantara atau melalui perantara. (Faidhul Qodir, 4/468).

Sementara ulama yang menggunakan istilah hadis Rabbani di antaranya adalah Jalaluddin al-Mahalli, salah satu penulis tafsir Jalalain. Dalam salah satu pernyataannya,

الْأَحَادِيثَ الرَّبَّانِيَّةَ كَحَدِيثِ الصَّحِيحَيْنِ: أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي

Hadis Rabbani itu seperti hadis yang disebutkan dalam dua kitab sahih: “Aku sesuai prasangka hamba-Ku kepada-Ku. (Hasyiyah al-Atthar ’ala Syarh al-Mahalli).

Allahu’alam… semoga bermanfaat diketahui dan dikaji lebih lanjut lagi.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s