KERAJAAN JOHOR DARUL TA’ZIM (1877 – SEKARANG)

Empayar Johor-Riau (1533-1857) di bawah pemerintahan Dinasti Bendahara Seri Maharaja (1699-1857) telah tiba ke zaman kejatuhannya pada awal tahun 1800-an selepas kemangkatan Sultan Mahmud Shah III (1761-1812). Pada peringkat ini berlaku rebutan takhta sehingga terdapatnya 2 orang Sultan iaitu Sultan Abdul Rahman I di Lingga dan Sultan Hussien di Singapura.


Pada waktu ini Singapura dan Tanah Besar Johor di uruskan oleh Temenggung Seri Maharaja Tun Abdul Rahman Ibn. Al-marhum Temenggung Tun Ibrahim (Daeng Kecil Daik) selaku wakil Sultan Empayar Johor. Beliau bertindak memungut hasil cukai kepada penduduk Johor dan menguruskan hasil bumi secara tradisi. Hasil cukai dan bumi ini kemudiannya di bawa ke Lingga dan disembahkan kepada Sultan sebagai tanda ketaatsetiaan penduduk Singapura dan tanah besar kepada kedaulatan Sultan di Lingga.


Pada zaman pemerintahan Temenggung Tun Abdul Rahman ini, Inggeris pimpinan Sir Stamford Rafflestelah tiba ke Singapura pada 1819 bertujuan untuk membuka logi perdagangan. Bagaimanapun Raffles mengetahui Temenggung Tun Abdul Rahman hanyalah wakil sultan dan Sultan di Lingga dikuasai oleh Belanda, musuh perdagangan mereka. Menyedari terdapat konflik takhta yang berlaku, Raffles telah bertindak menjemput Tengku Hussien ke Singapura. Tengku Hussien akhirnya ditabalkan sebagai Sultan Johor-Singapura oleh Raffles pada 6 Febuari 1819 dan dikurniakan sebuah Istana di Kampung Gelam untuk baginda sekeluarga tinggal. Sebagai balasannya, Sultan Hussien telah menandatangani perjanjian persetujuan Inggeris membuka logi perdagangan di Singapura. Walau bagaimanapun, Sultan Hussien hanya diiktiraf sebagai Sultan oleh British dan tidak oleh Pembesar Johor dan raja-raja Melayu dan baginda hanya bergantung kehidupan keluarga dan pengikut baginda dengan elaun yang diberikan oleh Inggeris. Disebabkan Inggeris telah menyekat pemberian elaun kepada baginda selama 3 bulan, pada 2 Ogos 1824 baginda telah menandatangani perjanjian baru dengan Inggeris dimana Inggeris telah memberikan baginda $sp1300 dan baginda telah menyerahkan kedaulatan Singapura sepenuhnya kepada Inggeris. 


Tindakan baginda ini telah menyebabkan jawatan baginda sebagai Sultan Singapura telah terlucut dan baginda telah berpindah ke Melaka pada 7 Jun 1834 dan mangkat di Bandar Hilir pada 10 September 1835 dimakamkan di Masjid Tengkera, Melaka.          


Pada 8 Disember 1825, Temenggung Seri Maharaja Tun Abdul Rahman mangkat dan dimakamkan di Teluk Belanga, Singapura. Jawatan Temenggung di ambil alih oleh puteranya Tun Ibrahim (Daeng Ronggek) dengan gelaran Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim.  Inggeris di Singapura telah mengiktiraf Temenggung Tun Ibrahim sebagai Raja Johor yang sebenar.


Selepas kemangkatan Sultan Hussien di Melaka, putera baginda Tengku Ali telah menuntut jawatan Sultan dan sebagai penganti kepada ayahandanya kepada Inggeris. Bagaimanapun Inggeris enggan melantik baginda sebagai Sultan Johor kerana ayahanda baginda tiada kuasa pemerintahan jika hendak dibandingkan Temenggung Tun Ibrahim. Hinggalah pada 16 September 1840 baginda diiktiraf oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat sebagai Sultan Johor dengan gelaran Sultan Ali Iskandar Shah bagaimanapun baginda tiada kuasa pemerintahan. Pada 10 Mac 1855 perjanjian ditandatangani antara baginda dengan Temenggung Tun Ibrahim dimana baginda diakui sebagai Sultan Johor oleh Temenggung Tun Ibrahim. Bagaimanapun baginda tidak boleh mewariskan jawatan Sultan kepada keturunannya dan kuasa baginda terhad di kawasan Kesang-Muarsahaja.   


Temenggung Ibrahim meneruskan tanggungjawab mengurus dan mentadbir Johor kecuali Kesang-Muar. Beliau telah bertindak memajukan Johor dengan memperkenalkan Sistem Kangcu, membawa masuk orang-orang Cina mengusahakan ladang-ladang gambir dan lada hitam. Temenggung Tun Ibrahim mangkat pada 31 Januari 1862 dan jawatan Temenggung Johor diambil oleh puteranya Tun Abu Bakar dengan gelaranTemenggung Seri Maharaja Tun Abu bakar. Pada zaman baginda, telah membuka Bandar Johor Bahru pada 1 Januari 1866. Hubungan antara baginda dengan Inggeris amat rapat terutamanya hubungan baginda dengan Ratu Victoria di London. Pada bulan Jun 1868, Ratu Victoria telah menganugerahkan gelaran “Maharaja Johor” kepada baginda. Bermula dari itu, baginda telah memakai gelaran Maharaja Abu Bakar.


Pada 20 Jun 1877, Sultan Ali telah mangkat di Umbai, Melaka. Kekosongan jawatan Sultan (pemerintah) di Kesang-Muar telah menyebabkan dilakukan pemilihan di Kesang oleh Temengung Paduka Tuan dan Penghulu-penghulu Kesang-Muar pada 7 November 1877. 


Akhirnya, mereka telah bersetuju Maharaja Abu Bakar sebagai pemerintah di Kesang-Muar. Bagaimanapun keputusan pemilihan ini dibantah oleh keluarga Sultan Ali terutamanya Tengku Alam, pewaris Sultan Ali. Pada 25 Oktober 1879 meletus perang saudara dikenali Perang Jementah antara pengikut Tengku Alam dengan pasukan Maharaja Abu Bakar. Akhirnya perang dimenangi oleh pasukan Maharaja Abu Bakar dan baginda telah mengampunkan pengikut Tengku Alam.


Baginda Maharaja Abu Bakar yang secara rasmi dan sah sebagai pemerintah tunggal memerintah Johor selepas kemangkatan Sultan Ali telah berusaha memajukan dan memastikan Kerajaan Johor pimpinannya bebas dan merdeka daripada penjajahan serta campur tangan penjajah terutamanya Inggeris. Pada 25 Mei 1885, baginda telah mengadakan lawatan ke England. 


Di England baginda telah megadakan perjanjian dengan Inggeris dikenali sebagai Perjanjian Setia Inggeris-Johor dimana Inggeris mengiktiraf Johor sebagai kerajaan yang bebas dan merdeka dan Maharaja Abu Bakar sebagai Sultan Johor yang baru. Pada bulan Julai 1886, Maharaja Abu Bakar dimahkotakan sebagai Sultan Johor dengan gelaran Sultan Abu Bakar. Sultan Abu Bakar telah mengasaskanpemerintahan Dinasti Temenggung Seri Maharaja memerintah Johor. 


Baginda telah bertindak membentuk pasukan bersenjata kerajaan dikenali sebagai Pasukan Timbalan Setia Negeri Johor (Johore Military Force) pada tahun 1885. Demi kedaulatan kerajaan, baginda telah mengubal Undang-undang Tubuh kerajaan Johor pada 14 April 1895 yang merupakan perlembagaan pertama di Malaysia.


Selepas kemangkatan Sultan Abu Bakar pada 4 Jun 1895 di London, jawatan Sultan Johor diwarisi oleh Tunku Ibrahim Iskandar dengan gelaran Sultan Ibrahim. Pada zaman baginda, Kerajaan Johor telah cuba dikuasai oleh Inggeris disebabkan cuma Johor sahaja Negeri Melayu tunggalyang masih bebas dan belum bernaung di bawah kuasa Inggeris di Semenanjung Tanah Melayu. 


Sultan Ibrahim seterusnya telah bertindak menubuhkan Lembaga Penasihat Kerajaan Johor di London bagi membuktikan kerajaan Johor sebuah kerajaan yang bebas dan baginda telah memperhebatkan JMF dengan kelengkapan senjata moden dan pada tahun 1905 baginda telah memperkenalkan Pasukan Sukarelawan Johor (Johore Vol. Force)Inggeris di Singapura tidak senang dengan tindakan baginda dan telah memaksabaginda menerima seorang penasihat Inggeris di Johor. 


Akhirnya baginda menerima D.J. Campbelsebagai Penasihat Am Inggeris pertama di Johor pada 11 Mei 1914. Walaupun baginda menerima naungan Inggeris namun kuasa pemerintahan baginda tidak terbatas jika hendak dibandingkan oleh raja-raja Melayu lain dimana kuasa mereka dikuasai oleh Residen Inggeris dan hanya berkuasa dalam Agama Islam serta adat istiadat Melayu sahaja. Sultan Ibrahim kekal memerintah Johor pada zaman pendudukan Jepun (1942-1945) dan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Sultan Ibrahim mangkat di London pada 8 Mei 1959 selepas memerintah Johor selama 65 tahun. 


Pemerintahan Johor kemudiannya diteruskan oleh Sultan Ismail (1959-1981),Sultan Iskandar (1981-2010) dan sekarangSultan Ibrahim.

Dinasti Bendahara Seri Maharaja 

Sultan Hussien Muhammad Shah Ibn. Almarhum Sultan Mahmud Shah III
Sultan Johor – Singapura

 (1819-1835)


Sultan Ali Iskandar Shah ibn. Almarhum Sultan Hussien Muhammad Shah
Sultan Johor dan Yang Dipertuan Muar-Kesang

 (1840-1877)


SULTAN KERAJAAN JOHOR (1877-SEKARANG).


Dinasti Temenggung Seri Maharaja 

Sultan Sir Abu Bakar Ibni Almarhum Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim (Daeng Ronggek)

(1877-1895)


Sultan Sir Ibrahim al-Masyhur Ibn almarhum Sultan Abu Bakar

(1895-1959)


Sultan Sir Ismail Ibn almarhum Sultan Ibrahim

(1959-1981)

Sultan Iskandar Ibn almarhum Sultan Ismail

(1981-2010)


K.D.Y.M.M Sultan Ibrahim Ibn. Almarhum Sultan Iskandar

Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Kerajaan Johor Darul Ta’zim.

(2010-sekarang)

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s