MENCARI HAKIKAT HIDUP

Perhatikanlah semuanya di sekeliling anda…

Alam sekitar, pokok-pokok, haiwan-haiwan serta objek-objek semuanya sebenarnya telah diciptakan termasuk kita manusia. Tetapi persoalan yang timbul.. siapakah yang menciptakan?

Telah diterima bahawa hakikat konsep penciptaan yang menyatakan:

“Setiap sesuatu tidak dapat menciptakan dirinya sendiri”.

Setuju? Tidak setuju?

Contohnya, lalat tidak dapat membuat dirinya sendiri. Meja tidak boleh membuat meja lain. 

Pasti ada suatu kuasa yang menciptakannya.

Ya… robot boleh membuat robot lain, tetapi itu adalah perkara lain pula.

Persoalan yang lebih penting adalah:

“Benarkah apa yang anda lihat di sekeliling anda itu adalah objek yang wujud dan Real? Apa itu Real?”

Mari kita mengembara ke dunia hakikat sebenar…
___________________________________________


Segala maklumat dan benda yang kita kesan kewujudannya adalah melalui 5 pancaindera kita..

Dunia yang kita kenal adalah berdasarkan:

-mata kita yang melihat sesuatu,
-hidung kita yang menghidu
-lidah yang merasa
-tangan kita yang menyentuh
-telinga kita yang mendengar.

Pernahkan kita terfikir… dunia kita sebenarnya berbeza dengan apa yang pancaindera kita sampaikan?

Hari ini penyelidikan dan kajian Sains telah menemui satu pemahaman yang luar biasa dan menimbulkan keraguan pada pancaindera kita.

Sains membuktikan bahawa Dunia yang kita lihat dan kita duduki ini sebenarnya hanyalah rangsangan yang terbentuk dalam otak kita oleh isyarat elektrik (eletrical impulse). Kita hidup di dalam sebuah simulasi komputer milik Tuhan.

Seorang Saintis Frederic Vester pernah berkata: “Hari ini sains telah membuktikan kebenaran kenyataan yang dikeluarkan sebahagian saintis yang menyatakan bahawa manusia adalah sebuah imej, alam semesta hanyalah bayangan dan semua yang kita lalui adalah menipu dan bersifat sementara”.

Ahli falsafah terkenal George Berkeley pula berkata: “Kita percayai kewujudan objek hanya kerana kita lihat dan menyentuhnya. Dan ia bertindak balas pula kepada kita dengan persepsi kita. Walau bagaimanapun, persepsi kita hanyalah suatu idea dalam minda kita. Dengan kata lain, objek yang kita lihat hanyalah sebuah persepsi atau idea di dalam otak kita. Ini bererti kita telah tertipu apabila kita membayangkan alam semesta ini dan benda-benda ini wujud di dunia luar (luar minda) kita”.

Untuk menjelaskan lagi hal ini, mari kita kaji bagaimana pancaindera kita berfungsi.

Apabila kita melihat sesuatu objek, maka cahaya dari objek itu (photon) akan menembusi kanta mata di mana ia akan disongsangkan dan terus sampai ke retina. Jadi, imej yang terbentuk di retina sebenarnya adalah dalam keadaan songsang (upside down)..



Jadi, cahaya/imej tadi akan ditukarkan kepada isyarat eletrik (electrical impulse) di mana ia akan dihantar melalui neuron ke titik kecil di otak (serebrum) yang dinamakan pusat penglihatan. Di sinilah isyarat dan imej songsang itu akan ditafsir dan dilihat otak sebagai mana penglihatan kita sekarang ini.



Hakikatnya, yang sebenar-sebenar tempat berlakunya proses melihat adalah di otak.

Yang melihat bukan lah mata…

Yang melihat sebenar adalah otak. 

Amacam? Boleh faham setakat ini?


Mata hanyalah satu medium untuk melihat, tidak ada beza fungsinya dengan contact lens dan cermin mata. Ia hanyalah alat atau medium.

Jika kita masih berpendapat mata yang melihat, kenapa kita tidak katakan bahawa sebenarnya contact lens atau cermin mata kita yang melakukan proses melihat? Fungsi mereka adalah sama… ketiga-tiga mereka adalah medium dalam melihat.

Situasi yang sama berlaku pada kesemua pancaindera kita yang lain.

Semua rangsangan dan isyarat eletrik dari pancaindera akan masing-masing dihantar ke satu titik spesifik di otak.



Bayangkan…

Anda diberi sebiji epal. Anda hidu, merasa dan menyentuh epal tersebut. Sekiranya saraf yang menghubungkan pancaindera dengan otak anda terputus… apakah anda masih lagi dapat melihat epal itu berwarna merah?
Apakah anda dapat lagi menghidu bau epal tersebut? Apakah anda dapat lagi merasa kemanisan epal tersebut?

Sudah tentunya tidak…

Hakikat sebenar adalah, epal yang anda rasa manis dan lihat merah itu hanyalah tidak lebih dari isyarat/impulse elektrik.

Cuba bayangkan pula…

Apabila saraf dari pancaindera seorang pemandu kereta disambungkan secara selari ke otak anda, bermakna saraf pemandu itu akan menghantar impulse/isyarat elektrik kepada 2 otak… iaitu otak pemandu dan otak anda. Jika pemandu itu tiba-tiba dirempuh lori pastinya anda akan melihat, mendengar dan merasa seolah-olah anda juga dirempuh lori walaupun mungkin ketika itu anda berada di rumah sedang baring dengan selesa. Anda juga akan rasa kesakitan akibat pelanggaran itu kerana isyarat eletrik yang sampai ke otak untuk ditafsirkan sebagai sakit.

Peristiwa seolah-olah benar berlaku atau Real. 

Juga kita akan rasa sekiranya otak kita disambungkan kesuatu alat simulasi. Contohnya apabila alat simulasi itu dibuat supaya menghantarkan isyarat elektrik keadaan kita sedang mandi di dalam sungai. Maka kita akan rasakan seolah-olah kita merasai sejuknya air sungai, bunyi hutan dan indahnya alam ketika itu… walhal hakikatnya kita sebenarnya tidak berada di tempat tersebut. Sudah ada ke teknologi simulasi seperti ini?



Dengan kata lain, otaklah sebenarnya tempat berlaku semua perkara. Proses melihat, menghidu, merasa, menyentuh dan mendengar berlaku di otak.

Tahukah anda, setiap otak berbeza cara tafsiran sesuatu maklumat? Dengan kata lain, otak anda tidak sama dengan otak saya.

Jika anda faham dengan fakta ini… ada satu lagi persoalan yang timbul.

Apakah yang kita rasai ketika makan sesuatu hidangan sama dengan rasa orang lain yang makan makanan sama?

Lincoln Barnett menyatakan: “Tidak seorang pun tahu bagaimana orang lain menerima warna merah atau not c (muzik) seperti yang diterima aku”.

Cuba kita ingat semula… semua objek di sekeliling kita adalah himpunan persepsi dalam otak kita. Ini bermakna. kita tidak berhadapan dengan benda asal atau Real di sekeliling kita (dunia luar), tetapi kita sebenarnya hidup dalam ‘salinan’ yang terbentuk di dalam otak kita.

Jika bagi anda, realiti ialah sesuatu yang boleh disentuh dengan tangan dan dilihat dengan mata… di dalam mimpi, anda juga dapat “menyentuh dengan tangan anda dan melihat dengan mata anda”, tidakkah begitu? 

Akan tetapi realitinya, sewaktu anda bermimpi anda tidak mempunyai tangan atau mata, tidak ada sesuatu pun yang boleh dilihat dan disentuh. Anda faham keadaan ini?

Tidak ada realiti material yang membuatkan perkara-perkara ini berlaku kecuali otak anda. Anda sebenarnya telah tertipu? Tertipu oleh mimpi anda sendiri?

Apabila anda membaca ayat ini, anda sebenarnya bukan berada di dalam bilik seperti yang anda rasakan. Tetapi sebenarnya bilik tersebut berada dalam anda. Otak anda membuat persepi anda berada di dalam bilik. Hebatkan otak anda? Apa benda otak ni sebenarnya?

Anda melihat badan anda, anda merasakan anda berada dalam badan anda. Ketahuilah, badan anda juga adalah persepsi dan imej terbentuk di otak anda.

Seorang pemikir, Berkeley pernah berkata: “Pada mulanya dipercayai warna, bau dan sebagainya adalah benar-benar wujud, tetapi kemudian pandangan ini ditolak dan didapati bahawa ia hanyalah wujud bergantung pada pancaindera kita.”



Persoalan seterusnya yang timbul ialah..

Jika dunia yang kita lihat ini hanyalah persepsi di dalam otak kita, maka apa sebenarnya yang ada pada ‘dunia luar’ ?

Sebenarnya kita tidak tahu… 

Kita tidak tahu.

Ini memandangkan semua objek di dalam ‘Dunia’ kita hanyalah himpunan persepsi kita dan hanya wujud di dalam minda kita.

Seolah-olah, satu-satunya dunia yang betul-betul wujud adalah ‘Dunia Persepsi’.

Pasti juga persoalan yang akan timbul adalah… jika semuanya adalah persepsi, bagaimana pula dengan otak yang merupakan juga salah satu anggota badan? Adakah kewujudan otak juga suatu persepsi sahaja?

Ya… jawapannya, otak juga adalah sebuah persepsi seperti objek-objek lain juga.

Ini dapat diterangkan dengan mimpi… di dalam mimpi kita juga mempunyai anggota badan khayalan. Seperti tangan khayalan dan otak khayalan. Jika di dalam mimpi ada orang bertanya, anda berfikir menggunakan apa? 

Anda menjawab… menggunakan otak anda…
hakikatnya, tiada otak yang Real untuk diperkatakan. Yang ada hanyalah otak khayalan dalam mimpi anda. Memang agak sukar difahami. Cuba ambil masa dan fikirkan baik-baik. Apa maksudnya semua ini?

Jika otak itu sendiri adalah persepsi… siapa yang menerima, melihat dan merasa semua ini?

Apabila otak dianalsis, ternyata tiada apa-apa di dalamnya melainkan molekul lipid (lemak) dan protein serta terdapat neuron-neuron di dalamnya. Ini bermakna tiada molekul khas untuk melihat imej, mentafsir bunyi, dan sebagainya. Bukankah ini sesuatu yang pelik?

Menurut R.L Gregory, sebuah gambar yang diproses di dalam otak memerlukan ‘mata dalaman’ untuk melihatnya . Akan tetapi otak memerlukan ‘mata dalaman’ lain untuk melihat gambarnya. Bagaimana?

Permasalahannya…

Milik siapa ‘mata dalaman’ itu?
Siapakah ‘penerima’ sebenar semua ini?

Jika bukan otak yang ‘menerima’ atau menjadi ‘mata dalaman’ , adakah atom-atom yang melihat imej-imej ini?

Tidak…

Tentunya tidak kerana atom-atom buta, tuli dan tidak hidup.

Jelaslah kini bahawa penerima, mata dalaman, dan kewujudan ini melampaui kewujudan kebendaan. Kewujudan ini ‘hidup’ dan ia bukanlah imej dan persepsi. 

Bolehkah anda memahami hakikat ini?Sebenarnya, kewujudan ini adalah ‘Roh’.

Sekarang kita dapat membuat kesimpulan… semua yang kita lihat di ‘Dunia’ ini hanyalah persepsi-persepsi yang sedang dilihat dan dialami oleh Roh.

“We are not human beings on a spiritual journey. We are spirits on ___ journey”.

Anda isikanlah sendiri tempat kosong tu.

Akan tetapi siapa pula yang menciptakan persepsi-persepsi ini yang menjadi tatapan Roh?

Hukum penciptaan membuktikan benda tidak mempunyai self-governing existence (kawalan kewujudan sendiri) oleh dirinya sendiri. Persepsi-persepai ini pastinya diciptakan oleh suatu kuasa lain. Tidak mungkin ilham persepi ini dari pandangan Roh sendiri. Kuasa siapakah dimaksudkan?

Pasti ada sesuatu yang membuatkan Roh kita melihat persepsi-persepsi seperti kewujudan bintang-bintang di langit, tumbuh-tumbuhan melata, unggas-unggas bertebaran, objek-objek bersusunan dan lain-lainnya.

Inilah bukti kewujudan Maha Pencipta. Sebagai orang Islam, kita memanggilNya dengan nama Allah. Kumpulan-kumpulan manusia lain memanggilNya dengan pelbagai nama lain. Hal ini tidak dapat disangkal oleh para saintis sekular dan atheis.

Ini bererti hanya Allah lah yang berada di dunia luar dan hanya Allah lah satu-satunya yang wujud.

Jadi, jika anda berjaya faham setakat ini, pasti anda faham maksud ayat “Allah berada dimana-mana”.

“Dan kepunyaan Allah lah timur dan barat, maka ke mana pun kamu menghadap maka di situlah wajah Allah. Sesungguhnya Allah maha luas (rahmatNya) lagi Maha Mengetahui”. Surah al-Baqarah: ayat 115


Anda juga akan fahami di mana sebenarnya Allah dan di mana neraka dan syurga terletak.
Bertentangan dengan tanggapan salah sesetengah orang yang mengatakan Allah tinggal di ‘langit’ dan ada yang beranggapan Allah di sebalik planet-planet dan bintang-bintang.

Itulah kenapa manusia tidak dapat atau mustahil untuk melihat Allah di bumi. Akan tetapi Allah dapat melihat kita malah mengetahui setiap pergerakan kita dengan terperinci.

Firman Allah:

Ia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang Ia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata), dan Dia lah Yang Maha Halus (melayan hamba-hamba-Nya dengan belas kasihan), lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya. (Surah Al-Anaam:103)


Apabila kita menyaksikan persepsi-persepsi deria di dalam kehidupan kita, kewujudan yang paling hampir dengan kita bukannya deria-deria ini dan bukanlah diri kita sendiri, tetapi Allah. Rahsia ayat berikutnya di dalam al-Quran menerangkan realiti ini:

Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya, (Surah Qaff:16)


Sesiapa yang berjaya memahami perkara ini dianggap telah dapat berganjak daripada kawasan Dunia Material yang menipu kebanyakan manusia dan telah memasuki kawasan kewujudan yang hakiki (Wahdatul-Wujud).



Diharapkan dengan perkongsian ini, kita dapat mengenal lebih baik siapa diri kita dan kita lebih mengenal Pencipta kita dan tujuan hidup kita.

Oleh itu…

Apakah yang kita kejar sebenarnya di dalam kehiduan Dunia ini?

Sains sendiri membuktikan dunia ini adalah penipuan semata-mata… ia hanyalah persepsi yang seakan-akan ‘Real’ walhal tidak lain dan tidak bukan hanyalah ilusi yang menipu.

Cuba kita renungkan sejenak semua ini.

Cuba kita lihat sekeliling kita… semuanya adalah persepsi.

Jadi.. apa lagi yang kita kejar di Dunia?



Semua harta benda itu tidak wujud… dan pancaindera kita menipu kita sendiri.

Harta, keturunan, kuasa dan pangkat semuanya hanyalah sebuah persepsi dan sebenarnya tidak wujud.

Marilah kita kembali kepada persoalan… kenapa kita hidup?

Marilah kita mengingati tujuan Allah ciptakan kita semua.

Semoga bermanfaat diketahui dan difikir-fikirkan.

Allahu’alam… Wassalam 

– zulsegamat –


Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s