HAKIKAT ILMU


Perosak ilmu ialah “kemalasan berfikir” dan penyeleweng ilmu ialah “tergesa-gesa berfikir”.

Untuk memudahkan cerita… marilah kita menelusuri sedikit tentang kisah hidup salah seorang ilmuan yang sudah tentu kita pernah mendengar namanya… Al-Ghazali.

Peribadi Al-Ghazali, seperti diceritakan sendiri dalam kitab beliau, ‘Al-Munqiz Minaddhalal’ menggambarkan kedahagaan beliau untuk mencari kebenaran yang tidak pernah puas. Sifat itu diakuinya, bermula semenjak masa kanak-kanak, sudah menjadi fitrah yang tidak dapat dielakkan. 

Kedahagaan yang tak pernah puas ini membawa munculnya suatu dimensi baru pada tingkah laku Al-Ghazali semenjak beliau berumur kira-kira 20 tahun, yaitu keraguan (syak) terhadap kepercayaan yang diwarisinya dari nenek moyang. Beliau ternyata seorang yang menolak sikap “blind acceptance” yakni sikap menerima sesuatu dengan membuta tuli tanpa menyiasat dan mengkaji sendiri kebenaran tentang sesuatu itu.

Tidak jemu-jemunya beliau mengharungi gelombang pertarungan kepercayaan dan pemikiran di zamannya sehingga tidak satu pun bidang kepercayaan dan ilmu yang tidak didalaminya untuk mencari kebenaran itu.

Beliau mengkaji tentang ilmu kebatinan untuk melihat yang tersembunyi disebaliknya, mengkaji segala aliran falsafah yang ada di zamannya, menyelami segala mazhab ilmu kalam(aqidah) yang dapat dijangkaunya, begitu juga dengan segala aliran tasawuf yang pernah didengarnya, aliran-aliran yang tidak percaya kepada Tuhan, disebut zindiq, tidak bebas dari penyelidikannya. 

Bahkan dalam ilmu fiqh as-syafi’ie juga beliau berjasa besar kepada umat Islam dengan karya beliau Al-Khulasah, Al-Basit, Al-Wasit dan Al-Wajiz dan begitu juga dalam usul fiqh seperti kitab Al-Mustasfa dan ilmu kalam(aqidah) seperti kitab Al-Iqtisad fil I’tiqad dan lain-lain. 

Pendeknya, sifat dahaga kepada ilmu disertai dengan sifat syak (ragu) terhadap segala sesuatu yang tidak dapat meyakinkannya itulah sifat Al-Ghazali semenjak kecil, sampai suatu masa dimana dahaga dan ragu itu mencapai puncaknya, yaitu lebih sepuluh tahun sebelum beliau meninggal, ketika beliau sedang mencapai puncak kemasyhurannya sebagai murobbi dan professor di madrasah Nizamiyah di Baghdad. 

Pada waktu ini beliau teruji dan teruja dengan krisis yang menarik beliau ke arah pangkat dan harta di suatu segi manakala ke arah ilmu dan akhirat di segi yang lainnya. Akhirnya beliau memilih yang terakhir enam bulan untuk berada dalam uzlah(bersendirian) dan kerisauan akhirat.

Ditilik dari segi jalannya peristiwa, dapat kita katakan bahwa persoalan sebenarnya yang membimbangkan Al-Ghazali adalah masalah hakikat ilmu. Kebimbangan itu lebih diperbesar lagi oleh perselisihan faham ahli-ahli ilmu di zamannya yang masing-masing mendakwa dialah yang benar. Tentu tidak banyak bezanya bukan… kalau kita lihat perangai ahli-ahli ilmu di masa ini.

Seperti katanya sendiri bahwa perselisihan manusia di dalam agama, kemudian perselisihan umat dalam berbagai mazhab dan ilmu laksana suatu lautan yang dalam, dimana sebahagian besar manusia tenggelam sedang sedikit sekali yang akan selamat, sedang masing-masing golongan menyangka dia sajalah yang selamat.

Persoalan yang dibahas oleh Al-Ghazali adalah persoalan dasar yang bersangkut paut tentang kewujudan manusia. Apakah dia hakikat ilmu itu? Dimana letaknya? Adakah ia kekal dan azali? Ataukah baru dan fana? Kalau hakikat itu ada bagaimana cara kita mengetahuinya?

Jadi pembahasan tentang ilmu menurut pandangan Al-Ghazali tidak dapat dipisahkan dari pandangan Al-Ghazali tentang hakikat. Sebab ilmu menurut Al-Ghazali adalah jalan menuju hakikat itu. 

Dengan kata lain, agar seseorang sampai kepada hakikat itu haruslah ia tahu atau berilmu tentang hakikat itu. Pening dan berbelit-belit? Sebab itulah telah diingatkan di awal nukilan kecil ini bahawa… Perosak ilmu ialah “kemalasan berfikir” dan penyeleweng ilmu ialah “tergesa-gesa berfikir”.

Ilmu dalam bahasa arab, berasal dari kata kerja ‘‘alima’ yang bermakna mengetahui. Jadi ilmu itu adalah masdar atau kata benda abstrak. Maka kalau dilanjutkan lagi menjadi ‘‘alim’, yaitu orang yang tahu atau subjek, sedang yang menjadi objek ilmu disebut ‘ma’lum’, atau yang diketahui. Ya, berbelit-belit lagi bunyinya…

Dalam proses memahami hakikat ilmu, hendaklah diketahui bahawa ilmu itu dipakai dalam dua hal:

1. sebagai masdar atau proses pencapaian ilmu

2. sebagai objek ilmu (ma’lum)

Al-Ghazali menggunakan kedua hal ilmu itu dalam tulisan-tulisannya. Tentang ilmu sebagai proses Al-Ghazali menceritakan tentang ilmu-ilmu deria (hissiyah), ilmu-ilmu akal (aqliyah) dan ilmu ladunni (ilham terus dari Allah). Dengan kata lain ada ilmu-ilmu melalui pancaindera, dan melalui akal, ada yang tidak melalui pancaindera dan akal, tetapi langsung terus ke hati, itulah ladunni atau langsung dari Allah. 

Tentang ilmu sebagai objek pula dapat kita lihat pada kritikan Al-Ghazali terhadap golongan ilmu kalam, golongan batiniyah dan terutamanya terhadap golongan ahli falsafah. Al-Ghazali mengkritik sikap mereka yang sengaja menyelewengkan ilmu dengan niat menyorokkan ilmu untuk kepentingan dan agenda orang-orang tertentu. Sistem pembelajaran dan pendidikan pula, direkabentuk untuk dipelajari dengan had masa tertentu supaya wujud keadaan tergesa-gesa di dalam aktiviti berfikir. Lihat sahajalah sistem ini masih dipakai di semua Sekolah dan Universiti di seluruh dunia sehingga hari ini. Contohnya: perlu menamatkan sesuatu kumpulan subjek itu di dalam satu Semester, atau perlu dihabiskan pengajian program di dalam masa 4 tahun atau 8 tahun maksimum.

Kedua-dua bentuk ilmu, sebagai “proses” dan sebagai “objek” ini digambarkan dan disimpulkan oleh Al-ghazali dengan kata-kata berikut: 

“Ilmu yang ini (yakni hakikat ilmu) adalah ilmu di mana yang menjadi objek pengetahuan itu terbuka atau tersingkap sehingga tidak ada sedikitpun keraguan terhadapnya, dan juga tidak akan mungkin salah atau sesat”. 

Apakah maksud Al-Ghazali dengan kata-kata ini? Ya, hanya dengan kerajinan berfikir serta mengkaji dan dengan sikap sabar (tidak tergesa-gesa berfikir) dapatlah kita memahaminya… yakni memahami hakikat ilmu itu.

Semoga bermanfaat.

Allahu’alam… Wassalam – zulsegamat

p/s: Kalau masih rasa tak faham… takper la. Janganlah paksa diri untuk faham. Maka, buat kali terakhirnya diingatkan lagi… Perosak ilmu ialah “kemalasan berfikir” dan penyeleweng ilmu ialah “tergesa-gesa berfikir”.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s