PAPYRUS OF ANI – THE BOOK OF THE DEAD


Ini salah satu ayat di dalam Buku Orang-orang Mati. Antara lain, buku ini banyak bercerita tentang kehidupan terdahulu, sekarang dan akan datang.

“Those who preside over their altars are the similitude of the Maat Ra (Eye of Ra), and the similitude of the Maat Heru (Eye of Horus)”

(Papyrus of Ani ‘The Egyptian Book of The Dead’ translated by E.A Wallis Budge)

Okay, kita tinggalkan ayat ini buat sementara. Sekarang ini kita mulakan dengan hal ini terlebih dahulu. Lepas ni, kita lihat perkaitannya.

Merenung kepada apa yang terjadi kepada keturunan Maya dan Aztec pada hari ini, benar-benar menginsafkan. Betapa sesiapa yang tidak membaca sejarah agung mereka, akan menganggap mereka adalah kaum picisan yang hina dan tidak berpelajaran.

Melihat keadaan mereka yang menjadi minoriti dan terpinggir akan membuatkan sebilangan kita berfikir bahawa kaum ini sudah tentu tidak tahu membuat apa jua ciptaan, hatta sebatang jarum sekali pun. Melihatkan keadaan mereka pada hari ini akan membuatkan kita berfikir dari hutan manakah mereka berasal.

Kemudian rakan-rakan kita mengajak kita menonton filem yang berjudul ‘2012’. Masih ingat filem ini? Ketika itu seluruh dunia sedang sibuk memperkatakan tentang filem terbaru keluaran Yahudi ini. Kita pun tidak mahu ketinggalan dan sanggup beratur membeli tiket di pawagam atau setidak-tidaknya, pergi ke pasar malam untuk membeli DVD cetak rompak.

Ketika menontonnya, kita pun meleleh air liur dengan asyiknya tanpa berkedip-kedip dan betapa kagum dengan kesan khas filem ini. Habis menonton, kita pun mencari-cari tentang maksud ramalan Maya tentang 2012. Alangkah terkejutnya kita apabila membaca tentang Maya, melihat kesan-kesan tinggalannya… piramid-piramid yang besar-besar dan khazanah astronomi yang mengagumkan dengan beratus-ratus komentar dari pakar sejarah, sains dan astronomi tentang kehebatan tamadun kaum yang kita anggap orang gua dan orang hutan sahaja.

Satu lagi tamadun, ialah tamadun orang-orang Inca pula.

Bayangkan, ketika orang Sepanyol tiba ke semenanjung Yucatan, orang-orang Inca menganggap mereka orang-orang Sepanyol ini adalah jelmaan dewa-dewa dan kapal-kapal mereka adalah kenaikan dewa-dewa. Ini kerana mereka tidak pernah melihat kapal-kapal yang besar sebegitu.

Apabila diperangkap penjajah Sepanyol, orang-orang Inca ini tidak melawan padahal merekalah yang gemar menangkap serta menindas kaum-kaum lemah lain di sekitarnya.

Orang-orang Inca ni pulak, menyanjung tinggi kehebatan pakaian dan kapal-kapal orang Sepanyol ini padahal pada masa yang sama orang-orang Sepanyol ini berasa amat terkejut dengan kota-kota Inca yang hebat dan khazanah emas yang terlampau banyak.

Kaum yang membina piramid bukanlah kaum yang bodoh tetapi mereka yang punya peradaban tinggi. Namun disebabkan PERASAAN RENDAH DIRI TANPA BERSEBAB DAN SUKA MENYANJUNG ORANG LUAR mengakibatkan akhirnya mereka dihapuskan serta-merta oleh para conquistador Sepanyol yang mula sedar kaum-kaum ini walaupun punya peradaban yang tinggi namun kurang peka dengan perkembangan semasa. Mereka tidak pernah melihat kapal, jadi mereka menganggap orang yang keluar dari kapal itu adalah anak dewa. Akhirnya mereka dibunuh beramai-ramai seperti ayam disembelih akibat kedunguan mereka itu.

Ini berlainan pula dengan orang-orang Melayu di Kepulauan Melayu. Bukan satu atau dua yang datang menjajah, TETAPI EMPAT.

Jika dibandingkan… Sepanyol, Portugis, Belanda dan Inggeris datang ‘menziarahi’ kita di sini. Toltek, Aztec, Inca dan Maya pula dihapuskan dengan mudah oleh conquistador Sepanyol sahaja tetapi Nusantara memerlukan gabungan empat ‘conquistador’ untuk mengawal Nusantara.

Sepanyol mengawal Filipina, Belanda mengawal Indonesia, Inggeris mengawal Tanah Melayu dan Borneo, manakala semua ini dimulakan oleh Portugis yang pernah memegang Melaka sebentar dan menjajah Timor Timur. Ini belum termasuk kelibat Perancis yang menjenguk Indochina dan Amerika yang pernah memegang Filipina sebentar (aneh juga, bagaimana Amerika boleh sesat sampai ke Filipina). Namun adakah orang-orang Melayu hari ini pupus atau menjadi minoriti tidak bernegara, seperti mana yang terjadi kepada orang-orang Aztec dan Maya?

SEPATUTNYA MELAYU PUPUS TIDAK BERSISA HARI INI DIKEROYOK 4 CONQUISTADOR INI, terutamanya Tanah Melayu yang dipegang oleh ‘raja conquistador’ iaitu Inggeris. Namun anehnya, orang-orang Melayu masih bernafas dan masih berbahasa Melayu di dunia fana ini.

Adakah kata-kata Hang Tuah itu menjadi sumpah yang benar? Inilah misteri yang memang tidak terpecahkan. Aborigine yang memegang pulau sebesar Australia pun rebah, bagaimana orang-orang Melayu ini yang dituduh bermacam-macam tuduhan seperti pemalas, kurang cerdik, lembik dan ‘nak buat jarum pun tak reti’ boleh ‘survive’ selepas dilanda ‘air bah’ penjajahan yang memenatkan?Sepatutnya orang-orang Melayu ini telah lenyap, tetapi apa yang berlaku sebenarnya?

Fikirkan, jika orang-orang Melayu tidak pernah melihat kapal, meriam, istinggar dan orang Eropah, sudah tentu orang-orang Melayu akan dibelasah habis-habisan seperti yang terjadi kepada Aztec, Maya,Toltek dan Inca. 

Benar, terutamanya di Tanah Melayu, kita dapati tiada piramid-piramid segagah seperti yang dibina oleh Aztec dan Maya, namun di manakah orang Aztec yang amat hebat boleh membina piramid agam itu? DI MANA MEREKA?

(Sebenarnya banyak piramid kat Nusantara ni, tapi nanti la. Lain kali cerita).

Mengapa orang Melayu menentang dengan darah, fikiran dan keringat…menggunakan apa saja yang mungkin…. keris, parang, tombak, meriam, istinggar, pemuras, kapal-kapal perang untuk menghadapi serangan bertubi-tubi,bukan satu malah EMPAT NEGARA EROPAH TERKUAT.

Penjajah hanya menghantar Sepanyol sahaja untuk menghapuskan tamadun-tamadun hebat di Benua Amerika, namun terpaksa menghantar beberapa negara penjajah untuk menundukkan Nusantara. Mengapa orang-orang Melayu tidak menganggap orang-orang Eropah ini sebagai dewa atau anak dewa yang turun dari kenderaan sakti? Padahal kaum sehebat Maya yang hebat dari segi teknologi astronomi dan matematik boleh dikalahkan dengan mudah.

Di manakah bangsa-bangsa hebat seperti Assyria yang membina kota Nineveh yang agung? Di manakah Akkadia, Chaldea dan penakluk-penakluk Babilon yang pernah berdagang dengan pedagang-pedagang Melayu pada hari ini? Di manakah keturunan Firaun dan bangsa Qibti Mesir Purba yang membina piramid yang menjadi salah satu keajaiban dunia dan pernah melawat ‘Punt’ 3500 tahun yang silam dan pernah bertemu dengan pemerintah Punt iaitu orang ‘Melayu’ di sana yang bernama Raja Perehu dan permaisurinya, Puteri Hati?

Semua bangsa-bangsa hebat ini lenyap dari peta sejarah, jika ada sisanya sekalipun, keadaan mereka amat menyedihkan. Dahulu mereka sering membuli dua bangsa picisan iaitu Arab dan Yahudi yang sering dijadikan hamba dan bahan serangan. Namun hari ini lihatlah berapa banyak negara-negara Arab dan lihat peranan orang Yahudi yang mencatur politik dunia.

Orang Qibti Mesir hari ini telah lenyap menjadi orang Arab Mesir. Namun berita baiknya, bangsa yang pernah dilawati para Firaun Mesir beribu-ribu tahun dahulu masih ada!

Menariknya,mereka masih mengucapkan perkataan-perkataan yang pernah didengar oleh utusan Firaun dahulu, kira-kira 3500 tahun yang silam!

Petunjuk Dari Tulisan Rencong…

Sebelum ini, sesetengah daripada kita mungkin telah pernah mengkaji corak tulisan purba orang-orang Melayu iaitu Rencong.

Tulisan Rencong pada masa dahulu ditulis pada tanduk kerbau, buluh, kulit kayu, kertas dan daun lontar. Manuskrip-manuskrip ini kebanyakannya disimpan oleh Belanda, majoritinya di Bibliotheek (Perpustakaan) Leiden.

Dari manakah tulisan ini berasal? Atau soalan yang mencabar dan luarbiasa,TAMADUN MANAKAH YANG MENCEDOK TULISAN INI MENJADI TULISAN MEREKA?

Kita lihat kembali perbandingan antara tulisan-tulisan Aramaik, Phoenicia dan Brahmi (Brahmi berasal dari tulisan Parsi Kuno di zaman Cyrus The Great).

Akhirnya tulisan jenis ini menjadi semacam tulisan jenis pepaku (cuneiform) yang digunakan oleh Tamadun Sumeria.

Apabila melihat kepada persamaan aneh antara tulisan Rencong dengan tulisan-tulisan purba ini, terdapat 3 andaian untuk menerangkan mengapa tulisan orang Melayu ini mempunyai hubungan dengan skrip-skrip tersebut:

1-Orang Melayu mencedok tulisan orang Phoenicia pada zaman dahulu. Faktor bagaimana ia terjadi kemungkinan besar dan dipercayai hasil dari aktiviti perdagangan antara kedua-dua bangsa.

ATAU

2-Orang Phoenicia pernah menetap di Nusantara, sama ada menjajah, penghijrahan atau sebagai ‘warganegara yang bekerja’ di Nusantara.

ATAU

3-Tulisan ini memang tulisan ciptaan orang Melayu Purba. Kemudian ditiru oleh orang Phoenicia, kemudian dicedok oleh orang Aramaik kemudian diubahsuai oleh orang Ibrani (Hebrew) dan seterusnya diambil oleh orang Aryan, yang kemudiannya membawa skrip ini ke India untuk menuliskan kitab-kitab Veda, kemudian dicedok oleh orang Dravidia (Tamil, Devanagari, Malayalam) seterusnya dicedok lagi oleh orang Khmer dan Nusantara (menjadi Kawi dan Aksara), dari sini dicedok buat kesekian kalinya oleh orang Thai dan Burma.

Misteri persamaan tulisan Rencong ini dengan tulisan-tulisan dalam kelas Proto-Canaanite benar-benar memeningkan pakar-pakar kajian skrip di Barat. Akhirnya ‘dengan berat hati’ mereka meletakkannya di bawah kategori sub-Brahmi bersama Kawi, Khmer,Thai dan lain-lain, memandangkan skeptikal mereka dengan skrip Asia Tenggara yang dianggap mereka diinspirasikan daripada skrip Brahmi. Jauh di lubuk hati mereka tahu… No. 3 paling tepat.

Ini juga akibat pandangan tradisional pengkaji Barat yang memandang semua skrip di Asia Tenggara dipengaruhi oleh unsur-unsur Keindiaan. Namun ini tidak dipersetujui oleh para sarjana lain seperti Jaspen, Marsden dan Jones yang mengesan misteri yang menyelubungi Rencong ini, malah semakin dikaji sehingga bukan setakat skrip Rencong, malah bahasa Melayu dialek Rejang itu sendiri menimbulkan misteri lebih besar kerana persamaannya dengan perkataan-perkataan Mesir Purba!!

Rahsia Tersembunyi Di Dalam Relief Di Kuil Hatshepsut

Kesedaran para ahli arkeologi, sejarahwan dan pakar bahasa tentang misteri yang menyelubungi skrip Rencong memandu beberapa pengkaji mendekati dengan rapat selok-belok tulisan ini, sejarah tempat di mana tulisan ini ditemui dan orang yang menggunakannya. Seterusnya mereka mengkaji pula bahasa yang digunakan oleh skrip ini, iaitu bahasa Melayu Rejang.

Charles Robert Jones, seorang ahli American Research Center di Mesir telah menyatakan bahawa kesedaran tentang pengaruh Phoenicia terhadap tulisan Rencong ini telah ditimbulkan oleh J. Park Harrison pada tahun 1896 di hadapan Persatuan Geografi dan Arkeologi Great Britain. Sarjana-sarjana budaya orang Semitik iaitu Sayce, M.Renan and Neubauer yang telah memeriksa tablet-tablet buluh di Sumatera, telah menyimpulkan bahawa karakter-karakter huruf dalam Rencong sememangnya mempunyai pengaruh Phoenicia.

Phoenicia adalah istilah Barat kepada orang Kanaan, satu bangsa purba yang pernah mempunyai tamadun dan peradaban tinggi pada masa silam. Para pengkaji sejarah menyatakan peradaban orang Phoenicia telah wujud kira-kira 1200 tahun Sebelum Masehi. Mereka pada zaman dahulu tinggal di kawasan sekitar Palestin, Lebanon dan Syria sekarang.

Sarjana-sarjana Semitik berkenaan berkeras melaporkan bahawa Rencong adalah tulisan orang Phoenicia sama ada dipengaruhi atau mempengaruhi malahan Dr. Neubauer menjelaskan dengan lebih terperinci bahawa bentuk-bentuk huruf Rencong dikenalpasti adalah mirip versi tulisan orang Phoenicia pada abad keempat dan kelima Sebelum Masehi.

Tablet-tablet ini telah dihantar ke England (salah satu rompakan khazanah Melayu Nusantara, menjadikan sebahagian anak Melayu hari ini berasa rendah diri dan mengalami kecelaruan identiti, sekejap merasa Melayu, sekejap merasa Cina, sekejap merasa India, sekejap merasa Siam seperti sesumpah) 

Yang menghantar tablet-tablet ini ke England adalah William Marsden pada tahun 1783 dan huruf-huruf dari tablet-tablet itu telah diterbitkan dalam bukunya yang bertajuk The History of Sumatera.

Kerja-kerja awal para sarjana menumpukan kepada sumber-sumber kepada skrip Rencong dan struktur karakter dalam tulisan tersebut serta bunyi setiap karakter. Hasilnya sungguh memeranjatkan apabila mereka mendapati tiada satu pun skrip-skrip Keindiaan tertua yang menepati sama ada tulisan Rencong mahupun aksara-aksara Sumatera berkaitan. Penemuan yang mengejutkan ini telah diterbitkan di jurnal saintifik Oxford journal, Archaeologia Oxoniensis pada tahun 1896.

Kesimpulan yang dibuat mereka ialah tulisan ini telah dibina melalui hubungan secara langsung dengan orang Phoenicia (bukan cedokan atau ubahsuai tulisan dari tulisan lain).

Pada tahun 1927, seorang pengkaji Jerman telah memulakan satu projek kajian bebas berkaitan skrip orang Batak di tengah dan utara Sumatera. Pengkaji tersebut,Schroeder telah turun ke Sumatera dan cuba mendapatkan jawapan sama ada terdapat data-data yang secukupnya untuk menyesuaikan dengan jangka masa tulisan Phoenicia ini dicedok atau mereka datang ke Sumatera melalui India atau dari Phoenicia ke Nusantara secara terus.

Hasil kajian pengkaji Jerman ini boleh dibaca dalam artikel bertajuk A Phoenician Alphabet On Sumatra. Di dalam artikel ini, beliau telah menunjukkan bukti-bukti hubungan secara langsung antara skrip Phoenicia dan skrip Batak. Beliau juga menunjukkan perbandingan kronologi pembinaan karakter antara Phoenician dan Aramaik (tulisan Ibrani Kuno dan asal-usul Hebrew), dan menunjukkan perkara yang sama telah berlaku pada skrip Batak! 

Schroeder mengatakan tulisan ini tiba ke Sumatera pada masa pembinaan karakter ini iaitu kira-kira 700 dan 650 Sebelum Masehi. Kesimpulan dari kajian beliau ialah tulisan orang Batak adalah mewakili perubahan dari tulisan Phoenicia ke Aramaik (dengan kata lain, ketika orang Ibrani mula mempelajari tulisan orang Kanaan,bdraf tulisan yang belum sempurna diadaptasi ke Aramaik yang dikenali pada hari ini telah sampai ke Nusantara, manakala draf tadi di Tanah Kanaan telah mengalami perubahan demi perubahan sehingga menjadi tulisan Ibrani Kuno,vsementara draf tadi yang sampai ke Sumatera masih dipakai oleh orang Nusantara). Beliau juga mengatakan ‘draf’ ini sampai ke Sumatera kira-kira permulaan dan akhir abad ke 7 Sebelum Masehi.

Akibat dari pelbagai misteri dan tandatanya yang menyelubungi pakar-pakar bahasa dan skrip dari Eropah sejak era penjajahan hingga tamat Imperialisme di Nusantara, pada tahun 1961, Universiti Kebangsaan Australia telah menghantar seorang ahli antropologi ke Sumatera.

Pakar antropologi itu, M.A Jaspen telah menghabiskan beberapa tahun di antara masyarakat Rejang Sumatera untuk mempelajari bahasa dan mengumpulkan cerita rakyat dan kosakata bahasa Melayu Rejang. Pada ketika itu (1961) masih ada penduduk di sana yang menggunakan skrip Rejang (seperti hari ini, masih ada orang menggunakan skrip Jawi) terutamanya orang tua-tua dan pedalaman. Beliau telah menterjemahkan skrip ini dari tulisan-tulisan pada buluh dan batang kayu dan mengkompilasikannya di dalam buku yang bertajuk Rejang Ka Ga Nga Text yang diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Australia. Kulit buku tersebut tercetak karakter-karakter Rencong yang ada persamaan dengan huruf Phoenicia.

Jaspen juga telah mengusahakan kamus bahasa Melayu Rejang-Indonesia-Inggeris dan memasukkan juga perbandingan antara bahasa Melayu Rejang dengan sebutan bahasa Semitik Barat. Walaubagaimanapun, Jaspen telah meninggal dunia sebaik sahaja hasil kerjanya diterbitkan yang mana mengandungi sebahagian dari siri kajian ANU’s Pacific Linguistics oleh Professor P. Voorhoeve (sekarang dikhabarkan bersara di Belanda).

Hasil dari gabungan kerja oleh M.A Jaspen dan Professor P. Voorhoeve yang juga menyokong kajian para sarjana seawal abad ke-17,dijadikan rujukan Jones untuk membawa beliau ke satu rahsia lain yang amat mengejutkan; terdapat unsur-unsur satu tamadun lain yang lebih lama dari tamadun Phoenicia dan Ibrani yang telah dikesan dalam budaya Melayu khasnya pada bahasa Melayu dialek Rejang, iaitu tamadun Mesir Purba!

Dalam kajian para sarjana sejarah dan linguistik telah menemukan kemungkinan yang benar-benar memeningkan; lebih memeningkan dari tulisan Rencong, iaitu bagaimana pengaruh bahasa kuno Mesir Purba yang telah pupus masih tertinggal di dalam bahasa Melayu dialek Rejang. Dan petunjuk yang mungkin untuk dijadikan asas kajian seterusnya ialah kembali ke abad 15 SEBELUM MASEHI; ketika Ratu Hatshepsut mengadakan ekspedisi ke ‘Tanah Para Dewa’, Punt.

Setelah membaca setakat ini, fahamkah kita akan maksud ayat petikan daripada THE BOOK OF THE DEAD di atas tadi? Tanah Para Dewa (Punt) banyak kali disebut; di mana letaknya tanah ini? Siapa yang menduduki tanah ini? Siapa Raja Perehu dan Puteri Hati?

Nanti la sambung.

Semoga bermanfaat difikir2 kan.

Allahu’alam… Wassalam.

Advertisements

One thought on “PAPYRUS OF ANI – THE BOOK OF THE DEAD

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s